Foto Instagram Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR – Musim baharu Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) dipersoalkan kerana menampilkan juri bukan dalam kalangan pelawak atau mereka yang mempunyai pengalaman membuat persembahan di atas pentas.

Pelakon dan pelawak, Shahrol Shiro berkata, golongan lebih arif sebagai juri program komedi perlu dipilih kerana dapat memberi teguran membina supaya peserta MLM2021 tahu kesilapan mereka.

“Dengan itu kualiti persembahan boleh ditingkatkan pada minggu hadapan. Jika dibandingkan program pertandingan komedi di Indonesia, jurinya semua berpengalaman luas dalam bidang komedi.

“Jadi mereka tahu kesilapan dan memberi teguran yang membina. Peserta dapat memperbaiki jadi yang lebih baik minggu hadapan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya di sini.

Program Maharaja Lawak Mega kembali bersiaran Jumaat malam lalu dengan barisan juri terdiri daripada Datuk Rosyam Nor, Diana Danielle, Noh Salleh, Uqasha Senrose dan seorang juri misteri yang hanya akan diumumkan pada final MLM2021.

Shahrol Shiro yang juga bekas juara MLM2018 berkata, beliau membuat teguran itu kerana mahu melihat komedi di negara ini setara atau lebih baik berbanding Indonesia.

“Jika dilihat program nyanyian seperti Gegar Vaganza semua juri memang “power” dalam bidang muzik seperti Datuk Ramli MS dan lain-lain,” katanya.

Teguran beliau tersebut mendapat perhatian ramai netizen yang rata-rata bersetuju dengan pandangan berkenaan. – MalaysiaGazette