Foto Instagram Fida Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim memberi amaran kepada bekas rakan kongsi, syarikat Aris Burger agak berhenti menggunakan gambar dan hasil kerja yang dilakukannya sebelum ini dalam sebarang medium.

Rafidah atau lebih mesra disapa Fida berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat.

“Saya memohon pihak syarikat Arisprop Holdings Sdn. Bhd / Aris Burger untuk tidak lagi menggunakan segala hasil kerja mahupun wajah saya walau di mana medium sekali pun,” kata Fida dalam satu hantaran Instagram sebentar tadi.

Menerusi hantaran sama, Fida, 35, menjelaskan, dia terpaksa membuat pengumuman secara terbuka kerana syarikat berkenaan masih menggunakan hasil kerjanya yang belum dibayar.

“Saya terpaksa membuat (pengumuman) secara terbuka kerana sebelum ini saya sudah memberitahu pihak berkenaan, tetapi masih lagi menggunakan hasil kerja saya yang pihak syarikat tidak bayar.

“Untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil, sekali lagi saya tegaskan untuk menurunkan segala yang berkaitan dengan saya termasuk video TVC (iklan) yang dihasilkan oleh saya.

“Sekiranya tidak mampu nak bayar saya, sekurang-kurangnya pihak syarikat biarlah ada sedikit rasa malu,” tulis Fida.

Fida yang juga seorang pengacara turut mengumumkan dia tidak lagi bersama dengan syarikat yang menjalankan perniagaan produk sejuk beku itu selepas hampir tiga tahun menjadi rakan kongsi.

Pengumuman berkenaan dibuat Fida menerusi satu hantaran di Instagram dengan gambar tertera perkataan ‘No Longer’.

“Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini saya ingin buat pengumuman bahawa saya sudah tidak lagi bersama dengan syarikat lama iaitu Arisprop/ Aris Burger.

“Terima kasih buat semua yang sudi memberikan sokongan pada saya selama ini sepanjang saya bersama dengan syarikat itu,” tulisnya.

Meskipun tidak menjelaskan secara terperinci, namun nota kaki ditulis Fida pada perenggan akhir hantaran tersebut memberi bayangan tentang permasalahan yang berlaku.

“Kerja adalah sebahagian daripada ibadah. Carilah tempat kerja yang kita selesa, maruah terpelihara dan paling penting barokah,” tulisnya.

Terdahulu, Fida yang juga seorang pengacara pernah menjalankan beberapa perniagaan termasuk produk kecantikan dan wangian, namun mula aktif dalam bidang perniagaan makanan sejuk beku Aris Buger selepas menjadi rakan kongsi perniagaan tersebut pada 2018.

Fida yang popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurusnya, Shahzemir Shahzulkarib pada Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast