Keadaan bas yang hangus selepas diletupkan ketika melalui bawah jambatan Jisr al-Rais. foto Reuters

SYRIA – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh di Damsyik dalam serangan bom ke atas sebuah bas tentera.

Kenderaan itu disasarkan dengan dua alat letupan ketika ia melintas di bawah jambatan Jisr al-Rais sejurus waktu subuh, lapor agensi berita Sana.

Walaupun Syria telah terlibat dalam perang saudara selama satu dekad, serangan seperti itu di ibu kota semakin jarang terjadi.

Tentera dilaporkan melepaskan tembakan dan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang di tersbeut yang dikuasai pembangkang, tidak lama kemudian.

Beberapa kanak-kanak sekolah menjadi korban daripada serangan itu yang berlaku di bandar Ariha, wilayah Idlib, menurut Observatory for Human Rights Syria, sebuah kumpulan pemantau yang berpusat di United Kingdom.

Idlib adalah kubu terakhir kumpulan pemberontak yang telah berusaha menggulingkan Presiden Bashar al-Assad sejak 2011.

Perang itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 350,000 orang mati, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hingga separuh penduduk meninggalkan rumah mereka, termasuk hampir enam juta pelarian berada di luar negara.

Video dari tempat kejadian menunjukkan bangkai bas yang hangus, dengan asap keluar dari tingkapnya yang pecah ketika anggota bomba berusaha memadamkan api.

Sana berkata, alat letupan ketiga telah dijumpai diletakkan pada jambatan itu dan dimatikan oleh jurutera. – BBC