Penduduk kampung melakukan bantahan berhubung pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar, Pulau Pinang baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) mendakwa kelulusan pembinaan tiga asrama pekerja warga asing di sekitar Teluk Kumbar, di sini, menunjukkan Kerajaan Pulau Pinang mengutamakan pekerjaan buat warga asing berbanding anak tempatan.

Pengerusi Pemikir, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, tindakan kerajaan negeri itu turut menunjukkan kegagalan mereka dalam merancang masa depan anak jati Pulau Pinang.

Jelas beliau, kerajaan negeri sepatutnya bersama membangunkan negeri dengan mengutamakan rakyat tempatan dan bukannya orang asing dalam memastikan kemampanan pembangunan negeri, seiring dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030.

Muhamad Farid Saad

Selain itu, Farid turut mendakwa kebergantungan melampau kepada pekerja asing itu tidak langsung menguntungkan perkembangan modal insan negeri serta negara.

“Dianggarkan seramai 50,000 pekerja asing bakal tinggal di kampung yang dihuni kira-kira 10,000 penduduk dan ia menjadi ketidakadilan sosial kepada penduduk setempat.

“Pembinaan asrama itu seolah-olah membuka ruang kepada penjajahan baru di kawasan kampung tradisi.

“Terlalu banyak faktor kehidupan dan sosial negatif yang menghantui penduduk terutama daripada segi kesihatan, keselamatan, kesesakan lalu lintas dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Farid, pihaknya mencadangkan asrama itu dibina di Zon Industri Batu Kawan sekiranya perlu, memandangkan kawasan tersebut masih luas dan sedia dibangunkan.

“Kedudukan tapaknya juga berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang, sekali gus boleh menghubungkan dua kawasan perindustrian.

“Kebanjiran pekerja asing dan kawalan keselamatan juga juga dapat dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan PDRM dalam menjaga keselamatan malah penyakit berjangkit berkaitan dengan kesihatan akan mudah dipantau,” kata Farid.

Sebelum ini, media melaporkan cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing oleh pihak swasta mendapat bantahan penduduk setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Pembinaan asrama pekerja warga asing itu dirancang dibina di Lot 1435 dan 1437 di Bagan Teluk Kumbar; Lot 1859, 1860 dan 1865 Tingkat Teluk Kumbar serta Lot 236 dan 284 Mukim 11 Bukit Belah, Sungai Batu, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast