KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bantuan tambahan Covid-19 sebanyak AS$800,000 (RM3.3 juta) untuk Malaysia.

Bantuan ini akan menyokong usaha Kerajaan Malaysia memberi vaksin kepada komuniti rentan yang sukar dijangkau.

Ia juga akan menyokong kemudahan kuarantin yang selamat untuk komuniti ini, membantu dalam melindungi Malaysia daripada SARS-CoV-2 dan membantu memastikan pemulihan ekonomi Malaysia terus maju.

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia akan melaksanakan bantuan ini di Malaysia.

Kedutaan Amerika Syarikat dalam kenyataannya berkata, bantuan ini merupakan tambahan kepada lebih AS$2 juta bantuan Covid-19 kepada Malaysia sejak pandemik ini bermula.

Pada 5 Julai lalu, AS menyumbangkan 1 juta vaksin Pfizer kepada Malaysia selain menyumbangkan bekalan perubatan, alat ujian Covid-19, ambulans, dan banyak lagi.

Komuniti perniagaan AS di Malaysia melalui MYAMCHAMCares, juga telah menyumbang lebih RM7 juta kepada usaha bantuan Covid-19 sejak tahun 2020.

Duta Besar, Brian D. McFeeters telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Setiausaha Agungnya, Hakim Hamzah untuk mengucapkan terima kasih atas usaha berterusan persatuan itu menyokong usaha Malaysia menentang Covid-19.

”Malaysia melakukan kerja yang luar biasa dalam memberi vaksin kepada populasinya, dan bantuan tambahan ini akan meningkatkan usaha untuk membantu masyarakat yang rentan dan membantu menjaga keselamatan seluruh negara,” katanya.

Usaha ini dibina berdasarkan kerja-kerja menyelamat nyawa sejak berdekad lamanya dan kepimpinan AS dalam menangani krisis kesihatan dunia.

Selama 60 tahun yang lalu, bantuan AS telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa daripada penyakit seperti Ebola, HIV/AIDS, tuberkulosis, malaria, dan kini Covid-19.

Di Malaysia, United States Agency for International Development (USAID) dan Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional (NIAD) di Institut Kesihatan Nasional (NIH) telah membiayai penyelidikan kritikal untuk membantu meramalkan dan mencegah pandemik masa depan selama lebih dari satu dekad.

McFeeters menambah, AS komited untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mengakhiri pandemik Covid-19, mengurangkan kesan sosial dan ekonomi yang dahsyat, dan membangun kembali dunia yang lebih bersedia untuk pandemik pada masa depan. – MalaysiaGazette