Seorang pemandu traktor maut selepas jentera berat yang dipandunya itu terbalik dan menghempapnya akibat permukaan jalan licin di Ladang Sawit Sungai Derhaka, Sungai Lembing, Kuantan semalam.

KUANTAN – Seorang pemandu traktor maut selepas jentera berat yang dipandunya itu terbalik dan menghempapnya akibat permukaan jalan licin di Ladang Sawit Sungai Derhaka, Sungai Lembing semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa, Loh Yi Hing, 62, maut dipercayai hilang kawalan ketika memandu traktor lalu terbalik dalam perjalanan ke pejabat ladang sawit tersebut.

“Hasil siasatan awal, kemalangan berlaku akibat kegagalan pemandu terbabit mengawal jentera di laluan berselekoh yang licin.

“Mangsa yang parah di dada disahkan mati di lokasi kejadian dan ayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat

“Proses bedah siasat akan dilakukan selepas ujian calitan Covid-19 diperoleh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Kamarulzaman, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana berlaku di jalan tanah persendirian.

Dalam pada itu, beliau menasihati agar pekerja ladang lebih berhati-hati memandu pada permukaan jalan licin dalam keadaan cuaca musim tengkujuh. – MalaysiaGazette