Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – “Terima kasih kerana bersuara, Lela.”

Itu reaksi bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin terhadap ciapan Ratu Terjun Negara, Datuk Pandelela Rinong yang mendedahkan pengalamannya dibuli apabila menegur seorang jurulatih kerana gemar membuat lawak lucah.

Khairy yang kini menerajui Kementerian Kesihatan turut mengimbau kembali kritikan beberapa wartawan sukan terhadap keputusan yang dibuat berkaitan tuduhan-tuduhan yang mengegarkan sukan terjun beberapa tahun lalu.

“Saya akan membuat keputusan yang sama setiap masa,” katanya di laman Twitter.

Pandelela yang membalas ciapan Kkhairy berkata, beliau juga tidak pernah kesal keputusan yang dibuatnya walaupun sering ‘dihakimi dan berhadapan tekanan untuk mendapatkan kemenangan sehingga ke hari ini.

“Keselamatan para atlet daripada penderaan mental dan fizikal menghasilkan pingat. Semua hari, setiap hari,” balas Khairy.

Artikel berkaitan:

Pandelela dalam ciapan hari ini mendedahkan sikap seorang jurulatih yang gemar membuat lawak lucah dan akhirnya dihadapkan ke mahkamah kerana terbabit dalam kes rogol.

Katanya, para atlet tidak dapat bertindak terhadap jurulatih berkenaan yang dilindungi oleh ketua jurulatih pasukan.

Pandelela turut menggunakan #rogolbukanlawak dalam ciapannya yang turut mendedahkan tekanan yang terpaksa ditanggung para atlet sepanjang tujuh tahun di bawah jurulatih berkenaan. – MalaysiaGazette