Dos penggalak diberikan kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.

KUALA LUMPUR – Seramai 47,729 individu melibatkan petugas barisan hadaoan kesihatan dan keselamatan, termasuk warga emas dan golongan komorbid telah menerima dos penggalak.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), pemberian dos penggalak itu yang bermula 13 Oktober lalu, adalah kepada penerima yang lengkap dua dos vaksin Pfizer sekurang-kurangnya enam bulan.

“Dos penggalak atau booster dose dan dos tambahan adalah berbeza, tetapi dari kategori yang sama iaitu dos ketiga.

“Pemberian dos penggalak ini menggunakan vaksin Corminaty keluaran Pfizer,” kata kenyataan itu, hari ini.

Jelas KKM, bermula 22 Oktober lalu, pemberian dos penggalak diperluaskan kepada warga emas yang telah lengkap dua dos vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan lalu.

Katanya, penggunaan vaksin campuran atau heterologous vaccination telah diguna di beberapa negara lain.

Namun, sebelum kaedah vaksin campuran ini dimulakan, KKM telah menubuhkan jawatankuasa kecil di bawah Jawantakuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) untuk membuat penilaian.

“Untuk dos penggalak, semua pengeluar vaksin perlu menghantar permohonan baharu kepada NPRA untuk penilaian terutama aspek keselamatan dan keberkesanan.

Menurut kenyataan itu, permohonan baharu itu perlu dibuat kerana NPRA hanya memberi kelulusan bersyarat kepada dua dos vaksin keluaran Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, SinoPharm manakala satu dos vaksin Can Sino.

Setakat ini, kata KKM, NPRA hanya memberi kelulusan bersyarat untuk dos penggalak kepada vaksin Pfizer.

Seperti yang ditegaskan Menterinya, Khairy Jamaluddin, pemberian dos penggalak itu tidak bermaksud dua dos yang telah diterima tidak berkesan.

“Dos penggalak adalah bagi mereka, di mana dua dos lengkap sudah mencukupi, tetapi dalam tempoh tertentu, tindak balas imun mula menurun.

“Dos penggalak ini bagi memastikan penerima vaksin mendapat tempoh perlindungan paling optimum,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast