Jalaluddin (tiga dari kiri) meninjau lokasi tanah runtuh di Lingkaran Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, Bangsar, pagi ini.

KUALA LUMPUR – Satu perbincangan telah diadakan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan wakil penduduk, kontraktor dan juru perunding bagi menyelesaikan masalah tanah runtuh di Lingkungan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan,  Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perbincangan itu bagi merangka pelan jangka pendek dan jangka panjang agar kejadian berkenaan tidak berulang.

“Soal keselamatan dan keselesaan penduduk Wilayah Persekutuan tidak boleh dikompromi.

“Justeru, saya minta kajian jangka masa panjang dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga bulan mulai sekarang,” katanya menerusi hantara Facebooknya hari ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam tadi melibatkan bahu jalan utama sepanjang kira-kira 40 meter.

Runtuhan itu berlaku di belakang kediaman penduduk di Lingkungan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, Bangsar.

Pada jam 8.45 pagi ini, Jalaluddin bersama pegawai DBKL turun ke lokasi untuk melihat keadaan kejadian itu.

Beliau berkata, bagi proses kerja awalan atau jangka masa pendek pula, pihak berwajib akan menyelesaikannya dalam masa dua minggu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama membantu menyelesaikan permasalahan sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette