KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memperkenalkan perkhidmatan Wakaf ASNB bagi membolehkan pelabur-pelabur mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat kepada komuniti secara berterusan.

Wakaf ASNB berkonsepkan wakaf muabbad iaitu wakaf berkekalan yang mengambil pendekatan untuk menyimpan modal dana wakaf bagi menghasilkan potensi pulangan setiap tahun.

Pulangan tersebut kemudian akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, pengenalan Wakaf ASNB adalah langkah proaktif bagi Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia, selain membuka peluang kepada pelabur-pelabur kami untuk melabur sambil beramal.

”Wakaf ASNB juga menjadi pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB, merangkumi pelaburan yang pelbagai, serta kemudahan perwarisan melalui hibah amanah dan pengisytiharan amanah,” tambah beliau.

Wakaf ASNB adalah hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah melantik ASNB sebagai Mutawalli iaitu pentadbir aset wakaf menerusi anak syarikat ASNB, ASNB Wakalah Sdn. Bhd (AWSB).

Pelantikan ini membolehkan AWSB mengurus dan mengagihkan dana wakaf secara telus dan lancar ke projek-projek pembangunan ummah dan masyarakat bagi pihak pewakaf.

Kini semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB berbilang kaum boleh mewakafkan unit amanah mereka menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB mulai hari ini di semua cawangan ASNB seluruh negara.

Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 mulai 1 Disember 2021.

Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam, dan 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan. – MalaysiaGazette