Gambar hiasan

PASIR MAS – Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita yang mendapatkan rawatannya, dua minggu lepas.

Jusoh Jaafar, 67, yang digelar ‘Ayah Su’ membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Rozaidi Yaacob.

Warga emas itu didakwa merogol mangsa yang berusia 23 tahun dengan menggunakan kedudukan sebagai pengamal perubatan tradisional di dalam bilik sebuah rumah beralamat di Bunut Susu, dekat sini, pada kira-kira 3 petang, 14 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober untuk sebutan semula kes dan penetapan jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Nur Fatin Syahirah Abu Hasan. – Bernama