KUALA LUMPUR – Goter Aqua X Sdn. Bhd. merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan aktiviti-aktiviti air dan darat untuk pelbagai lapisan umur seperti banana boat, jetski, go-cart, ATV dan basikal elektrik di negara ini.
Pengarah Urusannya, Muhammad Hafiz Hussein berkata, perancangan itu berdasarkan perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Perniagaan Guru-Guru Muar Berhad.
“Menerusi perjanjian ini, koperasi tersebut bakal melabur sekitar RM1 juta hingga RM2 juta mengikut empat fasa.
“Pihak koperasi merancang akan melabur sekitar RM250,000 untuk fasa pertama yang bakal bermula tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Majlis MOU itu dimeterai baru-baru ini di Amerald Resort Hotel di Desaru, Johor.
Selain Muhammad Hafiz, turut hadir Pengerusi Koperasi Perniagaan Guru-Guru Muar Berhad., Abdul Fadzil Bin Hussin dan Pengurus Besar Amerald Resort Hotel, Kelvin Lim.
Buat masa ini pihak Goter Aqua X menjadi vendor untuk aktiviti-aktiviti air dan darat di Amerald Resort Hotel dan Forest City.
Muhammad Hafiz memberitahu, perancangan syarikatnya selepas ini dengan mengembangkan cawangannya ke Gamuda Cove, Dengkil, Selangor dan akan menandatangani kontrak dengan Hotel Seri Malaysia di Sepang.
“Aktiviti go-cart yang disediakan oleh Goter Aqua X merupakan yang pertama di Malaysia menggunakan go-cart elektrik.
“Kelebihan go-cart elektrik adalah senyap dan tidak mempunyai asap. Perancangan pihak Goter Aqua X di masa hadapan adalah untuk menukarkan semua ATV yg berenjin ke ATV elektrik,” katanya.
Sementara itu, Abdul Fadzil memberitahu, pihaknya memilih untuk melabur serta berkerjasama dengan pihak Goter Aqua X kerana mereka mempunyai kepakaran di dalam bidang aktiviti-aktiviti darat dan air. – MalaysiaGazette