Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Korporat disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Suku ketiga tahun 2021 menyaksikan prestasi kutipan zakat negeri Pahang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak RM5.7 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pengurus Kutipan Zakat Pahang (PKZ) Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, peningkatan itu bersamaan kenaikan 5.9 peratus melibatkan pertambahan 3,721 pembayar zakat di negeri ini.

Katanya, berdasarkan perkembangan kutipan kini berada di landasan yang baik memungkinkan untuk mencapai sasaran kutipan zakat bagi tahun 2021 iaitu sebayak RM170 juta.

“Diharapkan dengan pelbagai saluran pembayaran yang disediakan PKZ Pahang mencapai sasaran kutipan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM170 juta dengan seramai 97,000 pembayar zakat.

“Peningkatan amaun ini dapat dinikmati oleh para asnaf melalui peningkatan agihan yang dilaksanakan oleh Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media  selepas majlis penyerahan zakat perniagaan korporat di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ARTIKEL BERKAITAN :

Zakat fitrah Pahang RM7, digalak bayar atas talian.

Bizzakat berwajah baru

PKZ Pahang telah menerima zakat perniagaan sejumlah RM2.53 juta daripada lima syarikat melibatkan YP Plantation Holdings Sdn Bhd dengan RM726,775.70, Pharmaniaga Berhad (RM650,000), Bank Pembangunan Malaysia Berhad  (RM384,968), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM222,959) dan Agro bank (RM168,596).

Dalam pada itu, Halidan berkata penyumbang terbesar bagi kutipan zakat membabitkan sektor potongan gaji iaitu sebanyak RM47.4 juta.

“Manakala sektor kedua terbesar daripada badan-badan korporat serta sektor perniagaan dengan sumbangan RM22.3 juta”. – MalaysiaGazette