Orang ramai berjoging pada hari pertama langkah keselamatan penyakit covid-19 baharu New Zealand yang mewajibkan pemakaian topeng di pengangkutan awam, di Auckland, New Zealand - Foto Reuters- Gambar hiasan.

WELLINGTON – New Zealand akan melonggarkan sekatan sempadan yang telah dilaksanakan sejak Mac 2020 akibat pandemik dan beralih kepada sistem pengasingan di rumah mulai tahun depan.

Ia bagi individu yang tiba dari luar negara yang lengkap vaksin mulai awal tahun depan.

Negara itu adalah antara yang pertama menutup sempadannya berikutan wabak pada tahun lalu dan menyekat sempadan dengan ketat.

Hal ini menyebabkan ramai warga asing dan penduduk mereka sendiri terkandas selama berbulan-bulan.

Kerajaan New Zealand berkata, pelancong luar negara yang telah divaksin sepenuhnya perlu menjalani kuarantin hanya selama tujuh hari di pusat kuarantin negeri mulai 14 November ini.

Pengasingan rumah juga akan diperkenalkan pada suku pertama 2022, kata Menteri Respons Covid-19 New Zealand, Chris Hipkins seperti laporan agensi berita.

New Zealand tidak dapat menghapuskan penyebaran wabak Delta dan terpaksa membatalkan strategi penghapusan serta beralih kepada hidup dengan virus koronavirus.

Keadaan itu lebih baik daripada kebanyakan negara lain kerana sekatan yang ketat telah membantu mengehadkan kes Covid-19 kepada kira-kira 5,900 kes secara keseluruhan dan hanya 28 kematian.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, pada minggu lalu New Zealand akan menamatkan langkah penutupan ketatnya apabila 90 peratus penduduknya yang layak diberi vaksin sepenuhnya.

Kira-kira 72 peratus daripada mereka yang layak telah diberi vaksin sepenuhnya setakat ini manakala hampir 87 peratus telah menerima dos pertama. – Reuters