Demonstrasi menentang rampasan kuasa masih diteruskan - Foto BBC

SUDAN – Bank Dunia menggantung bantuan kepada Sudan selepas tentera melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan di negara berkenaan.

Pemimpin politik telah ditangkap pada Isnin lalu telah mencetuskan bantahan di seluruh negara dan kutukan pihak antarabangsa.

Kesatuan Afrika (AU) juga menggantung Sudan daripada blok itu kerana rampasan kuasa yang dianggap ‘tidak berperlembagaan’.

Amerika Syarikat (AS) juga telah membekukan bantuan sebanyak $700m (£508m).

Pemimpin awam dan tentera Sudan berada dalam perjanjian perkongsian kuasa yang rapuh sejak dua tahun lalu dan pembekuan bantuan secara tiba-tiba boleh mengakibatkan kesan buruk kepada ekonomi Sudan.

Langkah Bank Dunia dan AU memberi tekanan kepada ketua rampasan kuasa, Jen Abdel Fattah Burhan supaya beliau mengembalikan semula kerajaan awam.

Jen Burhan bertanggungjawab ke atas perjanjian perkongsian kuasa dan berkata rampasan kuasa perlukan bagi mengelakkan ‘perang saudara’.

Dia menegaskan, Sudan masih menuju ke arah demokrasi dan pilihan raya pada 2023 tetapi alasan rampasan kuasa itu telah ditolak.

Pada Mac lalu, Sudan dapat mengakses berbilion dolar dalam bentuk geran daripada Bank Dunia buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun selepas menjelaskan tunggakannya.

Pada masa itu, Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata, ekonomi negara itu sedang meningkat selepas bertahun-tahun berada dalam krisis.

Bank Dunia telah menyumbang kira-kira $3 bilion bantuan kepada Sudan untuk menyokong pertanian, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pendidikan menurut Perdana Menteri, Abdalla Hamdok.

AU menegaskan walaupun pembebasan perdana menteri disambut baik namun Sudan akan kekal digantung daripada aktivitinya sehingga kerajaan awam dikembalikan semula.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken telah bercakap dengan Menteri Luar Sudan yang bersekutu dengan orang awam, Mariam Sadiq al-Mahdi dan berjanji menyokongnya untuk kembali kepada ‘peralihan yang dipimpin oleh orang awam kepada demokrasi’.

Pada Rabu lalu, media kerajaan melaporkan bahawa enam duta Sudan termasuk wakil negara ke AS, Kesatuan Eropah dan China telah disingkirkan daripada jawatan mereka oleh tentera.

Protes jalanan berterusan untuk hari ketiga, dengan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selepas tentera melepaskan tembakan ke arah orang ramai. – BBC