Bangunan pencakar langit di China. foto Getty Images

BEIJING – China telah menyekat bandar-bandar kecil di negara ini daripada membina “bangunan pencakar langkit”, sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk membanteras projek yang sia-sia.

Negara ini adalah lokasi kepada beberapa bangunan tertinggi di dunia, termasuk Menara Shanghai, yang mempunyai 128 tingkat.

Laporan tempatan juga mempersoalkan keperluan untuk bandar berkepadatan rendah membina bangunan pencakar langit, mencadangkan projek-projek berkenaan tidak praktikal.

Sudah ada larangan sedia ada ke atas bangunan yang lebih tinggi daripada 500 meter.

Pengumuman itu kebanyakannya mendapat kelulusan di laman media sosial China Weibo, dengan ramai menyatakan bangunan pencakar langit yang sangat tinggi itu “tidak diperlukan… ia hanya gimik”.

Awal tahun ini, China telah mengharamkan ‘seni bina buruk’.

”Kita berada dalam tahap yang mana orang terlalu terburu-buru dan ghairah untuk menghasilkan sesuatu yang boleh menjadi sejarah.

“Setiap bangunan bertujuan untuk menjadi mercu tanda, dan pemaju dan perancang bandar cuba mencapai matlamat ini dengan melampau dalam pembaharuan dan keanehan,” kata Zhang Shangwu, Timbalan Ketua Kolej Seni Bina dan Perancangan Bandar Universiti Tongji kepada South China Morning Post.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada hari Selasa, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar dan Kementerian Pengurusan Kecemasan berkata, bandar dengan populasi kurang daripada tiga juta orang akan dihadkan daripada membina bangunan pencakar langit yang lebih tinggi daripada 150 meter (492 kaki).

Mereka yang mempunyai populasi lebih besar daripada itu akan dihadkan daripada bangunan yang lebih tinggi daripada 250 meter.

Kementerian itumenjelaskan, pengecualian khas perlu dikeluarkan jika sebuah bandar dengan penduduk bandar kurang daripada tiga juta ingin membina bangunan pencakar langit lebih tinggi daripada 150 meter.

Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh membina bangunan yang lebih tinggi daripada 250 meter.

Begitu juga, bandar dengan populasi bandar melebihi tiga juta boleh dalam keadaan tertentu memohon untuk membina bangunan pencakar langit yang lebih tinggi daripada 250 meter, tetapi dengan larangan keras ke atas bangunan melebihi 500 meter.

Mereka yang meluluskan projek dengan melanggar peraturan baharu ini akan menanggung “tanggungjawab sepanjang hayat” tambah kenyataan itu. – BBC