Mohana Muniandy

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy kembali menerajui jawatan utama sayap wanita parti itu bagi penggal 2021-2024.

Mohana sebelum ini pernah menerajui Wanita MIC dari 2013 hingga 2018 namun tidak  mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti pada 2018 sebaliknya memberikan laluan kepada Usha Nandhini Jayaram untuk menang tanpa bertanding.

Mohana menang besar dengan undian sebanyak 2, 550 mengalahkan penyandang sebelum ini, Usha yang mendapat 1,323 undi dalam pemilihan parti peringkat Kebangsaan dan Negeri di Ibu Pejabat MIC hari ini.

Kemenangan yang diumumkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Timbalan Presiden MIC itu turut mengumumkan kemenangan Vickneswari Babuji yang berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Wanita MIC Kebangsaan.

Mohana yang sudah menceburi politik sejak 1995 sudah menjawat pelbagai jawatan malah pernah bertanding untuk kerusi Parlimen Kapar pada Pilihan Raya Umum ke-14 bertekad untuk memperkasakan soal pendidikan dan ekonomi di negara ini.

“Saya telah bekerja di bawah tiga Presiden iaitu Tun Samy Vellu, Datuk Seri G. Palanivel kemudian Datuk Seri Dr S. Subramaniam kini parti sedang diterajui oleh Tan Sri SA Vigneswaran yang begitu agresif.

“Pesanan beliau (Vigneswaran) kepada saya adalah untuk memainkan peranan penting terutamanya pada PRU akan datang. Beliau amat memahami kehendak kaum India dan mahu yang beri yang terbaik termasuklah mengembalikan kekuatan Wanita MIC pada hari ini.

“Kemenangan ini akan saya gunakan untuk sepenuhnya bagi kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 selain fokus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi,” ujarnya. -MalaysiaGazette