ACCRA – Sekurang-kurangnya lapan orang maut akibat disyaki dijangkiti demam kuning di utara Wilayah Savannah, Ghana, menurut kenyataan daripada Perkhidmatan Kesihatan Ghana (GHS).
Mangsa-mangsa terdiri daripada nomad di wilayah itu dan mereka tidak pernah diberi vaksin demam kuning.
“Mereka disyaki mengalami demam kuning dan sampel telah dihantar untuk pengesahan akhir.
“Sampel turut menjalani ujian untuk penyakit virus lain termasuk Ebola, Lassa, Marburg dan Zika, semuanya negatif,” kata GHS.
Demam kuning adalah penyakit virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk, yang biasa berlaku di beberapa wilayah Afrika dan Amerika Selatan.
Gejalanya termasuk demam dan jaundis pada peringkat awal dan kemudiannya, pendarahan dari hidung dan mulut dengan najis berdarah dan muntah darah.
Vaksinasi adalah langkah pencegahan utama yang disyorkan terhadap penyakit ini. – Xinhua