Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama seorang kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di Taman LTAT, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) yang dilancarkan Perdana Menteri hari ini dijangka mampu menampung permintaan kediaman dalam kalangan anggota tentera di Lembah Klang.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) itu disediakan bagi memberikan keselesaan kepada anggota keselamatan itu dengan memiliki sekurang-kurangkan tiga bilik bagi setiap rumah kuaters itu.

“Ini adalah sebahagian daripada projek jangka panjang untuk menyelesaikan isu perumahan dalam kalangan anggota tentera dan keluarga mereka.

“Kita ada 28,000 unit rumah yang diperlukan. Kita menerima banyak cadangan daripada syarikat (pemaju) untuk membangunkan rumah anggota tentera.

“Rumah ini untuk mereka tinggal sehingga mereka bersara. Ini bagi memberikan keselesaan kepada anggota kita untuk tinggal di rumah (tiga bilik),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (Tentera Darat) di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), di Bukit Jalil hari ini.

Sebelum ini, kerajaan melalui Mindef telah melaksanakan konsep 2-1 atau dua unit kuaters dijadikan satu bagi menambah bilik dari dua kepada tiga bilik.

“Rumah pangsapuri yang lama pun kita sudah ubah suai daripada dua bilik kepada tiga bilik kepada anggota kita. Penukaran rumah dua bilik kepada tiga bilik sudah dilaksanakan, kita pecahkan dua rumah menjadi satu, itu konsep 2-1.

“Dalam polisi kita tiada lagi pembinaan rumah dua bilik untuk anggota kita, yang sedia ada pun kita perbesarkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mindef sedang berunding dengan syarikat pemaju bagi membeli dan membina kuarters anggota tentera bagi menampung permintaan semasa sehingga 28,000 unit kediaman pada masa akan datang.

“Rumah yang akan kita beli dan bina itu, kita akan berbincang dengan pemaju sama ada mereka bersetuju memberikan perabot atau tidak

“Memandangkan kita sudah memulakan projek dengan lengkap perabot, tempat lain pun kalau kita beli nanti kena dengan perabot, pakej,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast