AUSTRALIA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang hilang selama 18 hari di Australia Barat ditemui masih hidup di dalam sebuah rumah berkunci.
Cleo Smith sebelum itu hilang dari khemah keluarganya di tapak perkhemahan berhampiran bandar Carnarvon pada 16 Oktober lalu sebelum pencarian besar-besaran dijalankan.
Polis merempuh masuk ke dalam sebuah rumah di Carnarvon pada awal pagi Rabu, berikutan petunjuk forensik.
Selepas itu, seorang lelaki berusia 36 tahun berada dalam tahanan dan disoal siasat oleh detektif.
‘Mereka menemui Cleo di salah satu bilik,’ kata Timbalan Pesuruhjaya Kol Blanch dari Polis WA dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak berkuasa memaklumkan, lelaki dalam tahanan itu tidak mempunyai kaitan dengan keluarga Smith dan tiada pertuduhan dikenakan.
Cleo ditemui di sebuah rumah yang terletak kira-kira enam minit perjalanan dari rumah keluarganya di Carnarvon.
Memetik laporan BBC News, pada malam 16 Oktober lalu, Cleo sekeluarga berada di tapak perkhemahan Quobba Blowholes apabila dia hilang antara jam 1.30 pagi hingga 6.00 pagi .
Cleo tidur di atas tilam angin di sebelah katil adik perempuannya manakala ibunya pula tidur di bilik kedua di khemah berkenaan.
Apabila bangun pada waktu pagi, Cleo sudah tiada dan pintu khemah terbuka.
Pasukan petugas seramai 100 pegawai telah dihantar dari untuk menyertai pencarian besar-besaran di udara, darat dan laut.
Pihak berkuasa menawarkan ganjaran A$1 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat di mana Cleo berada.
Timbalan Pesuruhjaya Blanch pula berkata, pihaknya akan memeriksa beribu-ribu maklumat yang diperoleh bagi mencari Cleo.
Lewat malam tadi, mereka menemui maklumat yang membawa mereka ke alamat rumah tersebut dan menyelamatkan Cleo melibatkan maklumat mengenai sebuah kereta tetapi tidak akan menjelaskan secara terperinci.
BBC News melaporkan seorang lelaki yang tinggal di rumah itu baru-baru ini dikesan oleh jiran membeli lampin dan berita penemuan Cleo mencetuskan rasa lega dalam masyarakat setempat.
Polis berkata, pihaknya tidak merasa yang ganjaran itu akan dituntut. – Agensi