Norkhalid Salimin

KUALA LUMPUR – Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkuatkuasa pada 1 November 2021
sehingga 31 Oktober 2024.

Norkhalid adalah alumni UPSI yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Sains Sukan) pada tahun 2000, Ijazah Sarjana Pendidikan Sains Sukan pada tahun 2005 seterusnya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah di dalam bidang Pendidikan Sains Sukan pada tahun 2012.

Beliau telah banyak menyumbangkan kepakarannya di dalam bidang Sains Sukan serta berjaya menerbitkan 165 bahan berkaitan buku, laporan, modul, prosiding, monograf, dan artikel jurnal.

Sebelum berkhidmat bersama UPSI, Dr Norkhalid berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tarikh 1 Januari 1994 sehingga 30 April 2000.

Beliau telah dilantik menjadi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di bawah agensi yang sama pada tahun 2000 sehingga 2007.

Beliau kemudiannya memulakan kerjaya sebagai seorang Pensyarah Akademik di Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dibawah Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Perak pada tahun 2008 sehingga 2012 dan seterusnya menjadi pensyarah di UPSI pada tahun
2012 sehingga ke hari ini.

Berikutan memaparkan nilai kredibiliti yang tinggi, Norkhalid pernah dipilih menjawat jawatan Timbalan Pengarah pada tahun 2014 sehingga 2016 dan Timbalan Pengarah 3 selama setahun di Unit Perundingan dan Geran Luar, UPSI. – MalaysiaGazette