Nik Dir Nik Wan Ku

KUALA LUMPUR – UMNO Terengganu tidak menyesal keputusan yang dibuat lapan Ketua Bahagian di negeri itu menolak Muafakat Nasional (MN) yang dianjurkan bersama dengan Pas.

Bahkan, UMNO negeri itu dari awal lagi tidak mempercayai kesungguhan Pas hendak memeterai persahabatan dengan parti tersebut pada September 2019.

Hal ini dinyatakan Ketua Penerangan UMNO Negeri itu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang menyifatkan keputusan menolak MN adalah tepat, kerana sudah menyedari dari awal ada udang di sebalik batu kalau kepimpinan Pas mahu bersama.

Bagaimanapun, katanya oleh kerana Presiden UMNO dan kepimpinan parti begitu bersungguh hendak bersama Pas, maka kepimpinan Terengganu terpaksa akur, walaupun merasai ia tidak akan berkekalan.

“Apabila pucuk pimpinan menyatakan hasrat itu, kita di Terengganu cuba mendalami, tetapi setiap kali cuba memahami penyatuan ini, kita dapat rasakan ia tidak berjaya. Sebab itu, kami seramai lapan Ketua Bahagian di Terengganu yang dipengerusikan, Datuk Seri Ahmad Said menolaknya.

“Kita tolak sebab kita tahu siapa Pas. Ia umpama berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ini hakikat. Orang yang melihat sudah merasa berat, tapi kita yang memikul ini lagi berat.

“Orang melihatnya dari jauh, kita melihat di depan mata. Orang mendengarnya daripada rakan, kita mendengar dari tuan badan. Cubalah bayangkan, siapa yang lebih mengenali Pas,” katanya dalam bual bicara dengan televisyen internet, NR ChannelTV, malam tadi.

Ditanya kenapa begitu teguh pendirian UMNO Terengganu menolak MN, Nik Dir menegaskan, ianya berpunca daripada Amanat Hadi yang disampaikan dalam ceramah pemimpin itu di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada Aril 1981.

Katanya, kerana amanat itulah beliau bersama tujuh Ketua UMNO Bahagian di Terengganu menolak usaha untuk mewujudkan gagasan antara dua parti menerusi MN.

“Kerana amanat inilah berpunca segala-galanya satu persatu perpecahan dan porak peranda di Terengganu, Kelantan dan beberapa negeri lain.

“Tetapi apabila hendak wujudkan MN, dengan senang dan mudah pemimpin kata, tutup buku lama, buka buku baru.

“Mereka langsung tidak minta maaf atas apa yang berlaku yang berpunca daripada mereka, sebaliknya Ahmad Zahid yang meminta maaf kepada seluruh ahli dan rakyat berhubung perpecahan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast