Penduduk Austria yang tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan memasuki salon. foto Reuters

VIENNA – Austria menghalang mereka yang tidak diberi vaksin Covid-19 lengkap daripada memasuki kafe, restoran dan salon ketika jangkitan menghampiri rekod setahun lalu dan kerajaan bergelut untuk meyakinkan warganya yang masih enggan divaksin.

Kira-kira 64 peratus penduduk Austria diberi vaksin sepenuhnya, sejajar dengan purata yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU) tetapi antara kadar terendah di Eropah barat.

Ramai rakyat Austria ragu-ragu tentang vaksin, begitu juga dengan Parti Kebebasan, parti ketiga terbesar di parlimen.

Jangkitan harian baharu telah meningkat dan pada hari Jumaat mencecah 9,388, hampir dengan rekod 9,586 yang dicatatkan setahun lalu.

Kerajaan menjangkakan rekod baharu akan dicapai dalam beberapa hari akan datang.

“Evolusi adalah luar biasa dan jumlah penghuni katil di unit rawatan rapi meningkat dengan ketara dan lebih cepat daripada jangkakan,” kata Canselor Alexander Schallenberg pada sidang akhbar.

Peraturan yang dibuat itu termasuk menyekat mereka yang tidak divaksinasi daripada memasuki hotel, acara lebih daripada 25 orang dan menonton acara sukan musim sejuk, lif ski.

Akan ada tempoh peralihan empat minggu yang mana vaksinasi pertama ditambah dengan ujian PCR akan membenarkan kemasukan ke tempat-tempat yang dilarang kepada individu yang tidak mengambil vaksin.

Selepas itu, hanya mereka yang telah divaksin sepenuhnya dan mereka yang baru pulih daripada jangkitan coronavirus akan dibenarkan masuk.

Pengumuman pada Jumaat dibuat sehari selepas langkah serupa dilaksanakan di Vienna, yang mempunyai kadar jangkitan terendah di antara sembilan wilayah Austria tetapi merekodkan kadar penghunian tertinggi katil di unit rawatan rapi diduduki pesakit Covid-19 iaitu sebanyak 20 peratus. – Reuters