BN sah bertanding 28 kerusi secara solo

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan bertanding secara sendirian di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, parti gabungan UMNO, MCA dan MIC akan mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu dengan hanya mengekalkan empat penyandang sahaja.

Jelas beliau, BN juga menampilkan 28 peratus calon yang berumur di bawah umur 45 tahun.

“BN akan pergi secara sendirian dan tidak akan bersama mana-mana parti.

“BN juga akan menggunakan logo sendiri yang melambangkan masyarakat yang bilang kaum dan majmuk,

“Pembahagian kerusi ini dilakukan secara teliti dan cermat walaupun ada bertengkar, biasalah hendak beri kerusi tetapi itu uniknya UMNO,” katanya.

Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang medfa mengenai pengumuman calon BN sempena PRN Melaka di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 NOVEMBER 2021.

Beliau berkata pada majlis mengumumkan senarai calon BN pada PRN Melaka di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, bekas Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dari UMNO akan dilantik ke jawatan itu semula jika BN memenangi PRN Melaka.

Jelas beliau, BN juga akan membawa tema Kestabilan Demi Kestabilan untuk memberi kemakmuran kepada Melaka dan Malaysia.

“Kita kena ada kerajaan yang stabil selepas PRN kerana ia penting dan rakyat perlu berfikir,” katanya. – MalaysiaGazette