Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia dan Biro Narkotik Pusat (CNB), Singapura hari ini mengadakan Mesyuarat Dua Hala bagi memperkukuh kerjasama strategik dan operasi.

Ia terutamanya dalam mendepani cabaran keselamatan sempadan menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru – Singapura pada 31 Disember ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur itu di pengerusikan oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh bersama delegasi CNB Singapura yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Operasi) CNB, Aaron Tang.

Ruslin berkata, pembukaan perkhidmatan RTS Link bakal meningkatkan pergerakan merentas sempadan secara signifikan, sekali gus menuntut koordinasi dan kesiapsiagaan yang mantap daripada agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.

Ujarnya, ia demi memastikan persekitaran yang selamat dan bebas daripada ancaman dadah.

Tambah beliau, sesi perbincangan itu menyediakan platform penting untuk AADK dan CNB memperincikan susunan operasi, mekanisma penyelarasan pegawai, serta saluran komunikasi pantas di pintu masuk utama, iaitu Kompleks Imigresen; Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar di Johor dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North di Singapura.

Jelasnya,AADK akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS), di Bukit Chagar, Johor dan di Woodlands, North Singapura.

“Kedua-dua agensi turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS), serta modus operandi penyeludupan terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ruslin, kejayaan kerjasama dua hala itu tidak hanya diukur melalui perbincangan rasmi, sebaliknya menerusi tindakan susulan yang konkrit dan praktikal yang dilaksanakan oleh pasukan operasi kedua-dua belah pihak.

Ujar beliau, AADK kekal komited untuk memperkasakan hubungan baik dalam aspek penguatkuasaan bersama agensi serantau demi melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan serta penyeludupan dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here