Armin Baniaz Pahamin (tengah)

KUALA LUMPUR – Segala bentuk dana, bantuan atau pinjaman baharu kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) daripada Bajet 2022 perlu dibekukan dan hanya di salurkan setelah siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Bebas tamat dan selesai.

Gesaan ini dibuat oleh Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) susulan dakwaan aduan melibatkan tadbir urus dan salah laku pengurusan AIM yang telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk daripada kalangan kakitangan AIM sendiri.

Ketua Biro Ekonomi Pusat Pejuang, Armin Baniaz berkata, jika semua perkara yang dibangkitkan dalam kenyataannya sebelum ini tidak berasas dan pihak pengurusan tertinggi Amanah Ikhtiar Malaysia tidak melanggar sebarang undang-undang dan akta, AIM sepatutnya mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan bebas atau lebih baik tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Dalam kenyataan itu, menyeru supaya Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat salah laku pengurusan AIM dan memetik beberapa contoh tindakan AIM yang didakwa bertentangan dengan undang-undang, justeru menggesa penubuhan Suruhanjaya
Siasatan Bebas, segala isu-isu ini boleh disiasat dan diperincikan.

Suruhanjaya inilah yang sepatutnya menentukan kedudukan pengurusan AIM sama ada bebas dari penyelewengan, salah laku, rasuah dan bukan pihak pengurusan AIM.

“Kami tidak memerlukan penjelasan. Penjelasan sepatutnya diberi kepada Suruhanjaya Siasatan Bebas. Hanya keputusan dari Suruhanjaya Siasatan Bebas yang sepatutnya membebaskan AIM dari segala laporan salah laku pengurusan AIM.

”Integriti pengurusan AIM yang sedang dipertikaikan bertambah teruk apabila salah seorang ahli lembaga pengarah AIM telah didakwa diatas 52 pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang melibatkan pertuduhan pemalsuan invois dan dokumen.

”Walaupun kes jenayah ini melibatkan syarikat lain tetapi kes jenayah seperti ini menjejas integriti, kewibawaan dan kredibiliti pengurusan AIM sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan awam dengan dana pinjaman dari kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pejuang turut mempersoalkan bagaimana AIM, sebuah pertubuhan yang memberi pinjaman kredit mikro boleh membayar gaji puluhan ribu kepada lembaga Pengarah dan pengurusan AIM. Koperasi yang ditubuhkan dibawah AIM seolah-olah menjadi lubuk
pendapatan gergasi kepada mereka.

”Mengikut laporan yang kami terima, pengarah dan pengurusan tertinggi AIM mendapat gaji berlipat ganda ‘double’ dari AIM, juga dari koperasi dan syarikat berkaitan.

”Gaji puluhan ribu itu tidak wajar dan tidak memadai dengan jumlah pinjaman mikro yang disediakan untuk warga miskin. Berapa ramai peminjam boleh mendapat manfaat dari gaji gergasi,” ujarnya.

Lantaran itu, segala perbelanjaan, imbuhan, penggajian dan pelaburan harus mengikut prosedur yang ditetapkan dan mesti disiasat dan diperincikan untuk mengenalpasti kewujudan atau ketidakwujudan sebarang salah laku.

Tegasnya, siasatan juga perlu dimulakan terhadap beberapa individu dari pengurusan tertinggi AIM yang asalnya dari sebuah syarikat yang dilaporkan merupakan pembekal teknikal utama AIM iaitu AIM Solutions Sdn Bhd.

”Mengikut laporan yang kami terima, mereka ini telah menyusup masuk menjadi pengurusan tertinggi AIM dengan imbuhan serta gaji berpuluh ribu ringgit sebulan. Yang lebih menarik, kami difahamkan mereka juga telah mengarahkan Koperasi Sahabat AIM, yang mana ketua pegawai eksekutifnya juga dilantik dari bekas pekerja AIM Solutions Sdn Bhd, untuk membeli AIM Solutions Sdn Bhd dengan harga yang tinggi.

”Rekod pendakwaan jenayah oleh Pengarah AIM, trend lantikan lembaga pengarah serta pengurusan tertinggi dan metod pelaburan seperti contoh diatas menjadi asas yang penting untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja supaya siasatan tidak dipengaruhi oleh kuasa-kuasa
tertentu,” tambah Armin lagi.

Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM800juta kepada AIM dan wang ini harus disalurkan untuk tujuan pinjaman mikro kredit mengikut matlamat penubuhan akta AIM dan bukan untuk gaji, imbuhan dan bonus yang amat tinggi kepada ahli lembaga Pengarah yang memang
bertentangan dengan akta.

”Dengan kos pengurusan yang tinggi dan baki simpanan yang telah telah digunapakai untuk pelaburan yang merugikan, kami percaya AIM sedang mengalami masalah kewangan yang kritikal.

”Aliran kewangan AIM juga akan terjejas tanpa hasil kutipan pembayaran balik pinjaman dari 378,507 peminjam yang terkesan sejak pandemik Covid-19.

”Masa depan dan rekod baik AIM perlu dipelihara supaya lebih ramai yang akan mendapat manfaat terutamanya dalam melahirkan usahawan di kalangan keluarga miskin dan berpendapatan rendah,” katanya. – MalaysiaGazette