Kereta api Intercity Express di Jerman.- Foto Arab News

VIENNA – Seorang lelaki yang hilang pekerjaan bertindak menikam empat orang penumpang kereta api berkelajuan tinggi di Jerman, Sabtu lalu.

Pihak berkuasa berkata, mangsa-mangsa telah diserang secara rambang dan suspek menunjukkan tanda-tanda seorang pesakit mental.

Setakat ini motif kejadian itu tidak jelas tetapi ia bukan keganasan.

Suspek yang ditahan dalam keretapi selepas melakukan serangan terakhir telah dibawa ke klinik psikiatri.

Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu yang membabitkan kereta api Intercity Express 928 dalam perjalanan dari Regensburg ke Nuremberg di tenggara Jerman.

Menggunakan pisau lipat sepanjang lapan sentimeter, suspek pada mulanya mengejar seorang lelaki berusia 26 tahun dalam kereta api yang sama sehingga mencederakan kepala mangsa.

Suspek kemudian menyerang seorang lelaki warga emas hingga cedera di kepala dan badan serta mencederakan seorang lagi lelaki berusia 60 tahun.

Dia kemudian melarikan diri ke kereta kereta api lain dan menikam seorang lelaki berusia 39 tahun di bahagian atas badannya.

Keempat-empat mangsa adalah lelaki tempatan.

Dua daripada empat mangsa masih berada di hospital pada hari Ahad.

Polis berkata, suspek merupakan seorang warga Syria, datang ke Jerman pada 2014 dan diberikan suaka pada 2016.

Dia tinggal di Passa dan dilaporkan kehilangan pekerjaan sehari sebelum serangan itu.

Penilaian awal penyiasat menyatakan dia mengalami penyakit mental, termasuk potensi “skizofrenia paranoid,” kata ketua pendakwa raya Gerhard Neuhof.

Suspek dilaporkan percaya dia telah diekori oleh polis dan menyerang mangsa pertamanya kerana dia menyangka lelaki itu mengancamnya dan mahu membunuhnya, kata Neuhof. – ABC News

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast