Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menekankan aspek kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam pendidikan murid di Tahap I, iaitu Tahun 1, 2 dan 3.

Di samping itu, kementerian juga telah melaksanakan Program Pemulihan Khas untuk murid yang berdepan dengan masalah menguasai kemahiran asas 3M.

Menurut Timbalan Menteri I, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon, guru pemulihan dengan kerjasama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik memberi bimbingan bersesuaian kepada murid sehingga dapat menguasai kemahiran asas 3M.

Kata beliau, kementerian turut memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan 3 dalam Bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik.

“Pelaksanaan PLaN adalah sebagai program sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menyeluruh untuk membantu memantapkan kemahiran 3M.

“Mulai September lalu, kementerian telah melaksanakan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU) dan salah satu aspek diberi penekanan dalam program ini ialah pemugaran literasi dan numerasi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Parlimen, hari ini.

Menurut Hang Soon, penekanan juga diberikan kepada penglibatan ibu bapa dalam menyokong pelaksanaan PdP.

Jelas beliau, program itu dirangka bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi melalui PdP secara bersemuka atau PdPR yang bersesuaian dengan tahap keupayaan mereka untuk mengikuti pembelajaran seterusnya.

“Pada masa ini murid Tahap 1 yang telah dikenal pasti dibekalkan dengan Modul Asas Literasi dan Modul Asas Numerasi bagi mempertingkatkan penguasaan 3M mereka.

“Berkaitan pemantauan, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilaksanakan bagi mengumpul data perkembangan pembelajaran murid yang direkodkan dari semasa ke semasa.

“Kita yakin langkah strategik yang dilaksanakan ini dapat memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast