Sesi fotografi bersama selebriti, Hafiz Hamidun selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan di Hotel Tamu Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer popular, Hafiz Hamidun menasihati selebriti dan individu yang mempunyai nama baik (good will) agar mendaftarkan nama mereka sebagai tanda dagang (trademark) bagi mengelakkan isu penyalahgunaan nama.

Menurut Hafiz, isu yang menimpanya sejak empat tahun lalu mengajar beliau untuk lebih berhati-hati agar nama tidak lagi diekspolitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dalam masa yang sama mengaut keuntungan.

“Apa yang berlaku dulu benar-benar membuatkan saya mula berasakan betapa pentingnya pendaftaran tanda dagang kepada mana-mana artis.

“Ini bukan disebabkan keuntungan, tetapi bimbang nama terus digunakan untuk tujuan tak baik.

‘”Iyalah, pihak sana untung berjuta-juta, saya dapat apa? Jadi kenalah ambil tindakan agar tak berlaku pada artis lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan – Care4Afghan di Hotel Tamu, Kuala Lumpur di sini semalam.

Presiden Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia, Zulkifli Wahijan bersama Duta Muslim Care Malaysia, Heliza Helmi (kiri) serta selebriti yang lain bergambar pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan di Hotel Tamu Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2021.

Pada Februari 2017, Hafiz memfailkan saman RM5 juta terhadap sebuah syarikat tekstil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyalahgunakan namanya tanpa kebenaran.

Dia yang juga merupakan seorang usahawan memenangi kes saman itu pada Mei 2018.

Bagaimanapun proses mahkamah masih berlanjutan apabila syarikat tersebut mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 2020.

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan tersebut dan kemenangan masih berpihak kepada Hafiz.

Mahkamah akan menetapkan 7 Disember depan bagi memutuskan nilai tuntutan kepada pihak berkenaan.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, tindakan yang diambil bukan sahaja untuk mempertahankan dirinya, tetapi sebagai pengajaran kepada syarikat-syarikat di luar sana.

“Saya tahu ada artis lain menerima nasib yang sama, tapi terpulanglah kepada mereka untuk mengambil tindakan atau tidak. Tapi untuk saya, tindakan perlu diambil.

“Dalam masa yang sama, ia juga sebagai peringatan kepada syarikat-syarikat di luar sana untuk tidak sewenang-wenangnya guna nama selebriti.

“Saya pun jenis senang bekerjasama dengan sesiapa pun. Benda boleh bincang. Kalau kena caranya, saya on saja,” ujarnya lagi.

Sementara itu, orang ramai yang mahu membantu Tabung Kemanusiaan Afghanistan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai juga boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 016-997 8323 atau Exco Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar ditalian 013-488 6447. – MalaysiaGazette