Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan (kanan) bercakap sesuatu dengan calon Perikatan Nasional N.21 Dun Duyong pada sidang media Perikatan Nasional Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Gabungan Perikatan Nasional (PN) membuat jangkaan lebih realistik untuk merampas negeri Melaka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, PN yang dianggotai partinya, Pas dan Gerakan mempunyai peluang cerah kerana rakyat sudah melihat prestasi kerajaan PN yang lebih fokus kepada rakyat.

“Kita fokus kepada ekonomi untuk dibangunkan semula untuk kebajikan rakyat. Tengok kepada suasana itu, saya rasa peluang kita lebih cerah dari Bersatu, Pas dan Gerakan sebab rakyat sudah melihat kita dalam gabungan PN fokus pada rakyat.

“Kita tidak bergaduh sesama sendiri dan rundingan penamaan calon dan pembahagian kerusi lebih harmoni di pihak kita,” katanya dalam sidang media di pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya hari ini.

Wan Saiful juga mengandaikan rakyat Melaka mahu satu gabungan yang kukuh dan holistik.

Ditanya gerak kerja PN yang perlahan di PRN kali ini, Wan Saiful berkata, PN sudah bergerak lebih awal sebelum tarikh penamaan calon lagi.

Malah beliau berkata, jentera PN sudah lama bergerak di seluruh pelusuk negeri Melaka.

“Peringkat permulaan sudah bermula lama tetapi kaedah kita merancang pendekatan dengan mendekatkan diri kepada pengundi dan berkempen berjalan lancar.

“Kempen kita bukannya perlahan tapi kita kena teliti senarai calon PRN Melaka sebelum memperkenalkan kepada pengundi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette