Keaadaan banjir di Taman Aman, Kota Tinggi di Johor malam tadi.

KOTA TINGGI – Hujan  lebat berterusan menimbulkan kegusaran kepada penduduk di sini sejak beberapa hari lalu dan bimbang menjadi mangsa bencana alam itu.

Semalam, hujan lebat lebih dua jam mengakibatkan beberapa buah rumah dan jalan di sini ditutup ekoran dinaiki air.

Tinjauan di Taman Aman mendapati penduduk mula mengemas rumah masing-masing sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Rata-ratanya meletakkan barang berharga dan dokumen penting seperti kad perubatan, barangan elektrik di tempat yang lebih tinggi.

Seorang penduduk, Zainal Yat, 64, terpaksa membina loteng bagi memastikan barangan penting kelengkapan rumah dapat diselamatkan sekiranya air naik secara tiba-tiba.

“Barang rumah saya naikkan atas loteng.Ini loteng kedua saya buat, saya sudah tiga empat tahun hadapi banjir jadi tiada tempat saya nak letak lagi.
Zainal Yat

“Saya terpaksa buat satu lagi loteng untuk tambah letak barang di dapur ada satu dan di sini satu, tiada tempat lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman di sini hari ini.

Zainal berkata, limpahan banjir ke dalam rumah satu ketika dahulu pernah mencecah ke paras pinggang menyebabkan banyak barangan keperluan rosak dan akhirnya terpaksa dibuang.

Keadaan itu juga menjadi kebimbangan bukan sahaja kepada dirinya malah semua penduduk sekitar taman berkenaan.

“Semasa kita pindah ke Sekolah Dato Laksamana tinggi air sampai paras ini lepas pusat. Waktu itu empat lima hari hadapi banjir, penat hadapi situasi ini, selepas itu kena basuh rumah pula, ” katanya.

Sementara itu, seorang pereka grafik pakaian,  Radin Saharuddin,34, juga mengalami kerugian beratus ringgit apabila tempahan rekaan dibuatnya rosak disebabkan banjir kilat.

Menurutnya, bukan sahaja tempahan pelanggan tidak dapat disempurnakan malah peralatan yang digunakan juga rosak.

“Habis semua kena buang dalam RM350, kita beli baju sudah buat design semua habis, mesin cetak semua habis. Tak tahulah, itu pun kita sudah terima tempahan 30 helai. Habis begitu sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, rata-rata penduduk juga bimbang dengan ‘kehadiran’  binatang berbisa seperti ular yang sering memasuki rumah penduduk setiap kali banjir berlaku.

Pada malam tadi, kawasan sekitar Jalan Johor Bahru – Mersing di Kim Long di sini mengalami kenaikan air sedalam 0.1 hingga 0.25 meter dan hanya boleh oleh kenderaan berat.

Namun begitu, laluan berkenaan telah dibuka semula kira-kira 7 pagi tadi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast