Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara selamba menjawab teguran daripada Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang menasihatkannya supaya memohon maaf kepada wartawan wanita dalam insiden di Melaka, semalam.

“Walaupun benda ini (tegurannya kepada wartawan terbabit) di luar konteks, tapi saya rasa, pada saya, tidak ada benda (isu) unsur-unsur bersebab.. provokasi pun, terima kasih,” katanya ringkas.

Beliau membalas teguran V. Sivakumar itu ketika sesi menjawab perbahasan RUU Perbelakan 2022 di Parlimen, petang ini.

Ahlil Parlimen Batu Gajah itu bangun mencelah meminta Idris yang juga Naib Presiden Pas dan rakannya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Hashim Awang ‘mengasak’ seorang wartawan wanita dari portal Free Malaysia Today yang menyoalnya berkaitan isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan Kedah.

Apabila ditanya oleh wartawan itu mengenai rasa khuatir kalangan masyarakat terhadap keputusan menyekat aktiviti perjudian, Idris menyoal sama ada beliau (wartawan itu) boleh menerima jika suaminya ‘kaki judi’.

Manakala Awang pula bertanya sama ada wartawan itu warganegara Malaysia kerana bertanyalan soalan dalam bahasa Inggeris.

“Nasihat kepada Idris mengenai insiden yang berlaku antaranya dengan seorang wartawan, saya melihat satu video yang tular di media sosial, di mana Menteri (agama) dan Timbalan Menteri Sumber Manusia telah berkonfrontasi dengan seorang wartawan.

“Saya lihat bahasa yang digunakan itu agak kasar dan saya rasa perkara seperti itu perlu dielakkan sebab wartawan itu menjalankan tugas dan tanggungjawab, dia nak tahu apakah sebab kerajaan Kedah telah menutup semua kedai nombor ekor.

“Jadi, tak salah untuk wartawan itu tanya soalan seperti ini dan saya faham, ini adalah niat Pas untuk meraih undi di PRN Melaka. Itu adalah strategi, tetapi cara menteri menangani isu ini, mengadakan konfrontasi dengan bahasa kasar terhadap wartawan wanita adalah suatu yang tidak baik,” ujarnya.

Beliau menasihatkan Idris dan Awang meminta maaf kepada wartawan berkenaan dan keluarganya secara terbuka. – MalaysiaGazette