Abdul Latif Ahmad

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri (NADMA) tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, NADMA hanya menjaga urusan dalam pemberian pampasan kepada mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada negeri.

Katanya, NADMA juga tidak bercadang untuk menempatkan pejabat dan kakitangannya di peringkat daerah kerana ia melibatkan kos yang besar.

“Saya minta wakil rakyat jangan meletakkan sepenuhnya kepada NADMA. Ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pusat.

“Kalau hal ehwal yang berkaitan dengan banjir atau bencana, perlu dikongsi oleh pihak ini (kerajaan negeri dan kerajaan tempatan), jangan bulat-bulat serahkan kepada NADMA di peringkat pusat.

“Kerajaan negeri melalui wakil rakyat dan Ketua Jajahan ada peranan masing-masing dalam hal ini,” katanya dalam sesi menjawab perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Menurut Dr. Abdul Latiff, setakat ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengkoordinasikan punca kuasa ini dalam isu keselamatan.

Mengenai bantuan khas pengurusan kematian akibat Covid-19, beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM32.92 juta sebagai pampasan atau bantuan kepada waris yang memohon.

Kata beliau, setakat ini jumlah kematian akibat wabak itu mencecah hampir 32,000 orang dan kerajaan menjangkakan akan terus berlaku.

“Setakat ini hampir 30,000 meninggal dunia yang dikaitankan dengan wabak Covid-19 dan waris si mati perlu memohon dengan mengemukakan dokumen lengkap untuk mendapatkan bantuan.

“Saya sendiri meninjau di pejabat yang menjalankan proses permohonan ini dan saya amat berpuas hati proses itu dilakukan oleh pegawai-pegawai sambilan dan telah memproses sebanyak 6,584 permohonan.

“Waris ini akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000,” katanya. – MalaysiaGazette