Para pencarum membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Setakat 4 Oktober 2021, pengeluaran kumulatif i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah diluluskan adalah sebanyak RM21.4 bilion melibatkan 5.2 juta pemohon.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10.85 bilion telahpun berjaya dikreditkan kepada ahli, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Laporan Laksana Ke-76.

Skim pengeluaran i-Citra diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra yang membenarkan ahli KWSP untuk membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Dalam tempoh yang sama, jumlah pengeluaran kumulatif i-Sinar yang telah berjaya dikreditkan adalah sebanyak RM58.6 bilion, melibatkan 6.57 juta pemohon.

Inisiatif ini diperkenalkan oleh kerajaan dengan kerjasama KWSP untuk membolehkan ahli KWSP untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1 mulai 8 Mac 2021.

Manakala bagi pengeluaran i-Lestari pula, setakat April 2021 jumlah pengeluaran kumulatif adalah sebanyak RM20.8 bilion dan melibatkan 5.27 juta penerima.

Inisiatif yang bermula pada April 2020 sehingga Mac 2021 ini memudahkan pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pengeluaran maksimum adalah sebanyak RM500 sebulan dan bergantung kepada jumlah baki yang terdapat di dalam Akaun 2 KWSP. – MalaysiaGazette