Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Sesi penggulungan perbahasan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan petang ini, dihangatkan dengan celahan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempertikaikan hadiah yang bakal diberikan kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM100 juta.

Ahli Parlimen Langkawi itu bangun mencelah pada awal penggulungan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan mempersoalkan tindakan Kementerian Kewangan menghadiahkan sebidang tanah bernilai RM60 juta dan sebuah bangunan (rumah) dengan kos RM40 juta.

Beliau berkata, mengikut aturan mesyuarat, setiap bajet (kelulusan hadiah) perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat untuk dibahas dan ditentukan sama ada dilulus ataupun tidak.

“Sepatutnya Menteri Kewangan menjelaskan semua item-item dalam bajet, tetapi sekarang ini saya dapati bahawa ada satu item yang tak disebut dalam bajet, tetapi sekarang ini sudah timbul di khalayak ramai, bajet ini berkenaan dengan hadiah kepada Yang Berhormat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dia akan dihadiahkan dengan harta dan rumah bernilai RM100 juta kerana kononnya jasanya kepada negara. Ini tak disebut (di Dewan Rakyat), kerana kita nak tau la apa dia jasa dia (Najib).

“Setakat yang (saya) tau, dia (Najib) adalah satu (seorang) banduan yang didapati bersalah, dihukum 12 tahun penjara dan denda lebih daripada RM200 juta, yang dia tak masuk penjara dan dia tak bayar denda, ini kerajaan yang ada ini nak balas budi, nak bagi (harta dan rumah),” katanya.

Oleh itu, kata Dr. Mahathir, siapa yang menjadi Perdana Menteri yang akan datang semua akan (melakukan) mencuri duit dan ini adalah kerajaan baharu serta dasar baharu.

“Sepatutnya dijelas dalam bajet mengenai hadiah ini, saya sendiri jadi Perdana Menteri (selama) 22 tahun, saya tak ambil satu keping tanah pun, tak ada ambil, cuma (ambil) pencen saya, itu saja.

“Tapi ini (Najib jadi Perdana Menteri), buat kerja sekian lama, curi duit, seleweng duit, salah guna duit, salah guna kuasa, (kerajaan beri) hadiah dengan RM100 juta.

“Tadi untuk satu item disebut RM10 juta, tetapi nak (beri) hadiah ini RM100 juta, RM60 juta untuk beli tanah dan RM40 juta untuk bangunkan satu bangunan untuk banduan ini,” katanya.

Beliau beranggapan kemungkinan bangunan (rumah) bernilai RM40 juta itu bercorak seperti jel (penjara), sebab banyak sangat kos.

Katanya, kediaman Perdana Menteri di Putrajaya yang beliau duduk ketika menjadi ketua kerajaan dahulu bernilai RM26 juta, tetapi untuk membina rumah dan sebidang kepada pemimpin yang melakukan kesalahan mencecah RM100 juta.

Beliau menjelaskan, Menteri Kewangan sepatutnya menjelaskan tentang duit kerajaan untuk diberikan sebagai hadiah kepada Najib.

“Ini orang sepatutnya ada dalam jel, tetapi bebas, boleh pi (pergi) Singapura, boleh makan angin. Saya harap menteri akan jawab. Terima kasih,” katanya.

Tengku Zafrul yang menjawab pertikaian itu berkata, soalan itu sepatutnya dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Saya nak beritahu, soalan ini sepatutnya dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri, memandangkan urusan berhubung Akta Ahli Parlimen Persaraan (Akta 237) bagi bekas perdana menteri terletak bawah bidang kuasa JPM.

Tun Dr. Mahathir sekali lagi bangun mencelah dengan berkata, beliau difahamkan perkara itu telah diluluskan oleh Kabinet dan beliau fikir Menteri Kewangan pasti tahu, tetapi tidak membantah. – MalaysiaGazette