Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media khas mengenai isu jenayah semasa di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Perselisihan faham antara ahli kongsi gelap Geng 24 membawa kepada pembunuhan seorang lelaki dipercayai ah long di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang pada 6 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini seramai 16 suspek ditahan di dalam beberapa siri tangkapan yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

“Kita percaya mereka terlibat melakukan perkara ini dan kita kini sedang dalam proses menyiapkan kertas siasatan dan hasil siasatan akan dihantar ke timbalan pendakwa raya untuk arahan pertuduhan di mahkamah.

“Kita percaya suspek merupakan anggota Geng 24 dan mangsa juga dipercayai ahli kongsi gelap yang mana berlaku perselisihan faham iaitu dendam lama dalam kalangan mereka sehingga mangsa mati ditetak dengan parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

ARTIKEL BERKAITAN:

Arjunaidi menambah, hasil siasatan terhadap enam lelaki yang ditahan di sekitar Klang dan Banting pada 6 November lalu direman selama tujuh hari bermula 7 November lepas.

Mereka ditangkap semula di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 13 November dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan, jelasnya.

Berpandukan hasil maklumat tangkapan pertama, polis Selangor melakukan tangkapan tiga lagi suspek kira-kira jam 10.30 malanm 10 November lalu .

Menurut Aljunaidi, kesemua tiga suspek lelaki warga tempatan itu ditahan polis di sebuah restoran di Bandar Baru Seri Petaling dan mereka direman selama 13 hari (fasa satu tujuh hari dan fasa dua enam hari) bermula 11 hingga 23 November lalu.

Katanya, hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan sebuah kereta Honda Accord bersama alat kawalan jauh, sehelai seluar pendek warna kelabu dan sehelai baju kemeja T putih yang digunakan suspek semasa kejadian, sebuah kereta Proton X70 dan alat kawalan yang digunakan selepas kejadian serta wang tunai berjumlah RM19,198 disyaki upah menetak mangsa.

“Kita telah menjalankan hasil soal siasat ke atas kesemua suspek sepanjang tempoh reman sebelum berpandukan maklumat mereka, pada 11 November lalu pihak polis berjaya menahan empat lagi suspek terdiri daripada lelaki tempatan termasuk suspek utamanya di sekitar Muar dan Segamat, Johor dan direman selama 13 hari bermula 11 hingga 23 November ini.

“Daripada empat suspek ini kita berjaya merampas sebuah kereta Toyota Camry bersama anak kunci, sebuah kereta Toyota Vios bernombor pendaftaran palsu dan hasil soal siasat ke atas suspek telah berjaya menimbulkan maklumat tentang lokasi pembakaran pakaian dan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut,” ujarnya.

Arjunaidi memberitahu, pada 11 November lalu dengan berpandukan arah oleh salah seorang suspek, polis dibawa ke kawasan lapang di Taman Sentosa, Klang dan ditunjukkan lokasi membuang senjata dari Jambatan Kota ke dalam Sungai Klang.

Katanya, pasukan forensik telah dikerah menjejaki senjata yang dibuang itu.

Selain itu, katanya, polis juga berjaya menjejaki lokasi rumah inap yang disewa suspek dalam kejadian di Bandar Botanik, Klang. – MalaysiaGazette