Pengundi membuang undi di kotak undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan Malaysia Gazette di SK.Jeram, Melaka.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka positif Covid-19 dikesan keluar mengundi di pusat mengundi SK Jeram, Masjid Tanah, hari ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri berkenaan Dr Rusdi Abd Rahman, Pejabat Kesihatan Daerah itu menerima notifikasi dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Melekek.

“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi.

“Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu katanya, PKD Alor Gajah telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

Dalam masa yang sama,  sanitasi telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba.

“SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baru sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baru.

”Pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur,” jelas beliau.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri itu memandang serius perkara yang berlaku ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

Tambahnya, semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah.

Sehubungan itu, beliau  memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka.

Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Negara (CPRC) (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected] MalaysiaGazette