Dr. Asyraf (dua dari kanan) bersama empat ADUN Pemuda yang menang PRN Melaka malam tadi.

KUALA LUMPUR – Empat wakil Pergerakan Pemuda UMNO yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka  dinasihatkan agar sentiasa ingat dan pelihara hubungan dengan Allah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika memberi nasihat itu berkata, jawatan Yang Berhormat adalah beban amanah besar yang bakal dipertanggungjawabkan oleh Allah dan rakyat – bukan satu bentuk kemasyhuran untuk dibanggakan.

“Lewat malam tadi selepas selesai pengumuman keputusan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya sempat duduk dengan empat wakil rakyat yang baharu menang.

“Mereka juga mewakili Pemuda UMNO-BN iaitu Fairul Nizam Roslan, Dr. Rais Yasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Mohd Noor Helmy serta turut bersama beberapa ketua Pemuda negeri dan bahagian.

“Dalam sembang itu, saya titipkan beberapa nasihat supaya mereka sentiasa merendah diri dan jangan sekali-kali berubah menjadi angkuh dan sombong serta jaga dan berkhidmatlah kepada rakyat dengan penuh dedikasi tanpa berkira,” katanya menerusi hantaran Facebooknya pagi ini.

Empat calon BN itu. Fairul Nizam di DUN Asahan, Dr. Rais (Paya Rumput), Muhamad Akmal (Merlimau) dan Mohd Noor Helmy (Duyong) menang dengan menewaskan pencabaran dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala dua lagi iaitu PH menangi lima kerusi dan PN hanya mendapat dua kerusi DUN.

Dr. Asyraf Wajdi turut menasihatkan wakil rakyat muka baharu itu bahawa aspek utama perlu dititikberatkan ialah menjaga amanah, akhlak dan integriti dengan menjauhkan daripada sebarang bentuk penyimpangan serta penyelewengan.

“InsyaAllah, jika panduan ini dipegang, mereka bakal mencerminkan generasi pewaris perjuangan UMNO dan BN yang menjadi sandaran dan harapan rakyat masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette