Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mahu isu pembangunan sosial dan status pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di 27 kampung di Labuan, Sabah diatasi segera demi kepentingan penduduk di pulau itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan (PL) dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Negara akan memantau setiap isu dibangkitkan oleh ketua kampung.

Beliau berharap, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias dapat menyelesaikan isu itu.

“Kalau boleh, saya mahukan isu ini diselesaikan dengan segera dalam tempoh minggu ini.

“Kita tidak mahu ia berlarutan kerana boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan penduduk,” katanya selepas mengadakan sesi libat urus dan dialog bersama pemimpin masyarakat di Labuan, hari ini.

Menurut Jalaluddin, kementeriannya akan mengambil perhatian serius mengenai isu itu yang melibatkan suntikan dana untuk penyelesaian segera.

Mengenai status Labuan yang dikatakan tidak mempunyai keistimewaan berikutan harga barangan tidak lagi menarik perhatian pelancong luar, katanya, ia akan dibincangkan oleh jawatankuasa itu.

“Isu ini harus dibincangkan ahli jawatankuasa ini dan akan diselesaikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan status bebas cukai itu masih relevan,” katanya. – MalaysiaGazette