Tan Sri Noh Omar

MELAKA – Kemenangan Barisan Nasional (BN) yang bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh dijadikan indikator bagi negeri lain dalam percaturan menghadapi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kejayaan BN tanpa kerjasama Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) boleh dibanggakan di negeri yang mempunyai 476,037 pengundi biasa itu.

“Memang UMNO (BN) boleh solo, terbukti (menang) di PRN Melaka, tapi ‘lain padang lain belalang’. Macam di Selangor, kerjasama MN ini kita masih perlukan dan perlu diteruskan.

“Kena tengok juga bilangan pengundi, di Selangor pecahan kaum sama banyak tak macam di Melaka kalau tak silap saya pecahannya 60-40.

“Jadi kalau negeri lain tak mahu ikut (bersama MN seperti di Selangor) pun tak apalah tapi di Selangor kita perlu MN berkerjasama itupun jika Pas sudilah,”

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Realiti Zero To CEO di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, UMNO perlu mempelajari banyak perkara selepas kemenangan besar BN di Melaka, namun ia tidak bermakna boleh diambil ‘bulat-bulat’ di peringkat Kerajaan Pusat.

“Ya ada yang kita boleh pelajari daripada kemenangan BN bertanding solo di Melaka, tapi kena tahu juga ‘lain padang lain belalang’,” katanya enggan mengulas lanjut.

Keputusan PRN Melaka Sabtu lalu menyaksikan rakyat mengembalikan mandat kepada BN setelah memperoleh majoriti dua pertiga memenangi 21 kerusi DUN daripada 28 kerusi dipertandingkan.

Kerusi terbabit ialah Tanjung Bidara, Ayer Limau, Merlimau, Taboh Naning, Durian Tunggal, Lendu, Duyong, Rembia, Sungai Rambai, Kelebang, Kuala Linggi, Machap Jaya, Gadek, Serkam, Telok Mas, Pantai Kundor, Paya Rumput, Rim, Ayer Molek, Pengkalan Batu dan Asahan.

Manakala Pakatan Harapan (PH) disahkan memenangi lima kerusi iaitu di DUN Ayer Keroh, Kota Laksamana, Bukit, Kesidang, Bukit Katil dan Bandar Hilir.

PN pula menang dua kerusi iaitu di DUN Sungai Udang, Bemban. – MalaysiaGazette