ISKANDAR PUTERI – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat, merafak sembah mengucapkan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sempena ulang tahun hari keputeraan baginda.

Katanya, ahli-ahli DUN Johor mendoakan supaya Sultan Ibrahim; Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan seluruh keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Saya mewakili Dewan DUN Johor dan semua ahli dewan merafak sembah mengucapkan tahniah pada Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda hari ini.

“Semoga Ke Bawah Duli Tuanku,  Permaisuri Johor dan seluruh ahli keluarga sentiasa dilindungi dan dilimpahi taufik dan hidayah oleh Allah SWT, dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu.

“Moga Allah kurniakan keafiatan kepada Tuanku dan semoga Johor terus makmur di bawah pemerintahan Sultan Johor,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menerusi akaun Facebook rasminya turut merafak sembah ucapan tahniah pada Sultan Ibrahim sempena ulang tahun baginda.

“Merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun Hari Keputeraan Tuanku hari ini,” katanya. -MalaysiaGazette