KUALA LUMPUR – Hanya dua pegawai kanan bawah Kementerian Luar Negeri tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti politik, kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.
Mereka ialah Ketua Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) serta seorang lagi berjawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik.
“Dua pegawai ini saya haramkan mereka untuk melibatkan diri dalam apa jua kegiatan politik.
“Yang lain-lain seperti Setiausaha Akhbar, Setiausaha Politik dan sebagainya terserah pada budi bicara masing-masing sama ada hendak terlibat dalam politik atau tidak.
“Saya tak boleh halang sekiranya mereka hadir aktiviti politik,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, pagi ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang menunjukkan gambar Setiausaha Kebudayaan Kementerian Luar Negeri, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menghadiri satu majlis ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
Ahmad Idham dilihat bersama Saifuddin dalam satu majlis politik dan kehadirannya dirakam serta dijadikan isu oleh Pakatan Harapan (PH).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri berkuatkuasa 1 November lalu.
Selain Ahmad Idham, penerbit dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof juga dilantik sebagai Perunding Kreatif dan pelantikan mereka diumumkan Saifuddin di Wisma Putra, Putrajaya.
Katanya, walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sudah mempunyai pegawai dalam urusan itu di beberapa negara, tetapi tugasan kedua mereka itu meliputi maksud lebih luas dalam bidang tugasnya. – MalaysiaGazette