Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengawal pandemik Covid-19 dengan penurunan kes sejak minggu epid 35 tahun 2021, termasuk kadar kes kematian mingguan.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jumlah kes mingguan telah menurun daripada 138,929 kepada 40,600 kes pada minggu epid 46, dengan jumlah penurunan sebanyak 70.8 peratus.

Begitu juga, katanya, kes kematian mingguan menurun 83.4 peratus daripada 2,092 kes pada minggu epid 38 kepada 347 kes minggu epid 46.

Kata beliau, kadar penggunaan katil di wad hospital dan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun kepada kurang daripada 70 peratus, berbanding melebihi 100 peratus bagi kebanyakan hospital kerajaan.

“Penurunan ini direkodkan ketika gelombang ketiga sedang memuncak pada minggu epid 29 iaitu dari 18 Julai hingga 24 Julai lalu hingga minggu epid 36 dari 5 September hingga 11 September lalu.

“Kadar penggunaan katil adalah untuk kes kategori 3, 4 dan 5 yang turut menunjukkan trend penurunan berikutan kejayaan program vaksinasi yang menurunkan risiko kemasukan ke wad,” katanya di Parlimen, hari ini.

Aaron Ago berkata, kejayaan pengawalan pandemik Covid-19 itu disumbang oleh beberapa faktor, antaranya pemberian vaksin secara intensif dan besar-besaran bagi memastikan liputan vaksinasi populasi mencapai 40 peratus ke atas.

Sasaran itu, katanya, ditetapkan berdasarkan pengalaman beberapa negara yang menyaksikan penurunan kes, kematian serta penggunaan katil hospital apabila liputan vaksinasi populasi di negara tersebut mencapai 40 peratus ke atas.

Bagaimanapun, jelas beliau, sehingga 20 November lalu, Malaysia telah mencapai liputan vaksinasi populasi sebanyak 76.4 peratus.

Faktor lain ialah, kawalan pergerakan dan perhimpunan berskala besar termasuk aktiviti sosial bagi mencegah dan mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Kawalan sempadan dengan mengehadkan pergerakan rentas negara, prosedur kuarantin ke atas mereka yang baru masuk ke Malaysia serta strategi pengujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan bagi mengenalpasti awal kes import dari luar negara.

“Pemerkasaan komuniti bagi meningkatkan rasa kebertanggungjawaban dan kebersamaan dalam menjaga kesihatan dan keselamatan diri, keluarga serta masyarakat.

“Penglibatan aktif semua agensi kerajaan serta bukan kerajaan, dan ketua-ketua masyarakat dalam melaksanakan agenda dan strategi kerajaan untuk mencegah dan mengawal pandemik ini,” katanya.

Kata Aaron Ago, kerajaan juga melakukan pemantauan dan penguatkuasaan bagi pematuhan SOP serta pembudayaan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Selain, pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi meningkatkan penglibatan pelbagai pihak termasuk fasiliti kesihatan swasta dan pengamal perubatan swasta dalam menangani pandemic serta menguruskan kes Covid-19.

Dalam penjelasan itu, beliau berkata, tahap penularan jangkitan Covid-19 pada fasa endemik peringkat negara boleh ditentukan oleh kerajaan berdasarkan pencapaian nilai ambang yang ditetapkan dan disesuaikan dengan kapasiti respon sesuatu negara agar tidak menjadi masalah kepada kesihatan awam.

“Ketika fasa endemik kelak, walaupun liputan vaksinasi Covid-19 di negara ini telah melebihi 70 peratus, jumlah kes harian masih boleh meningkat, namun dijangkakan pengurangan bilangan kes yang memerlukan kemasukan ke hospital dan bilangan kematian disebabkan virus itu akan terus berlaku,” katanya.

Katanya, sebagai langkah waspada, KKM mengambil beberapa tindakan seperti terus mengekang penularan hingga ke tahap endemik dan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi ancaman daripada kemunculan varian baharu dan peningkatan kes.

“KKM juga mengambil langkah meningkatkan penglibatan pelbagai pihak, selain lebih telus dalam perkongsian maklumat dengan masyarakat agar saranan serta informasi dari kerajaan dapat diterima dan dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyatakan, KKM menggariskan lima strategi utama untuk transisi kepada fasa endemik yang merangkumi respon kesihatan awam dan vaksinasi, pengujian dan survelan, pengurusan kes Covid-19, pemerkasaan komuniti dan kawalan sempadan. – MalaysiaGazette