Muhammad Riyaaz menunjukkan notis Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 yang diterimanya daripada pihak KPDNHEP Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 kepada Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell, di sini, hari ini.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemilik restoran perlu menjawab notis berkenaan dalam tempoh dua hari bagi mengelak sebarang tindakan.

Mohd Ridzuan.

Katanya, notis itu dikeluarkan kepada pengusaha restoran bagi mendapatkan beberapa maklumat termasuk harga kos dan jualan bagi sotong goreng berkenaan.

“Terdahulu tiga pegawai penguatkuasa kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis terbabit susulan tular dakwaan pelanggan mengenai sotong goreng yang dijual pada harga tidak munasabah.

“Menerusi pemeriksaan itu, kita sudah rakam percakapan peniaga berkenaan mengenai isu tular itu bagi membantu siasatan lanjut.

“Sekiranya maklum balas yang diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Kegagalan mematuhi arahan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 AKHAP 2011.

Sementara itu, Pengarah restoran terbabit, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, ketika ditemui berkata, dia sudah memberikan maklumat awal kepada pegawai KPDNHEP yang ke premisnya kira-kira jam 2 petang tadi.

“Saya maklumkan harga sotong mentah serta harga bagi setiap hidangan mengikut saiz.

The fried quid at Hameediyah Nasi Kandar Restaurant is sold at RM10 – RM150 according to size.
Sotong goreng restoran nasi kandar Hameediyah dijual pada harga RM10-150 mengikut saiz.

“Namun, saya perlu berikan penjelasan lanjut dalam dua hari berhubung kos harga sotong mentah serta kos penyediaannya.

“Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Pelanggan tidak patut tularkan harga sotong goreng RM100 – Hameediyah

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan tular satu posting di Facebook yang dikongsikan seorang lelaki berhubung pembelian dua bungkus nasi kandar berlaukkan sotong goreng berharga RM100.

Menerusi posting itu, lelaki berkenaan turut mengingatkan orang ramai berhati-hati sekiranya mahu menikmati nasi kandar di Pulau Pinang susulan harganya yang mahal. – MalaysiaGazette