Jaringan Prihatin Programme Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan harga atau caj perkhidmatan rangkaian 5G pada masa akan datang dijangka jauh lebih rendah berbanding 4G sekarang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan (SPV) iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) hanya mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap Gigabait (GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi.

Katanya, caj itu lebih murah berbanding kos tambahan bagi setiap GB 4G yang dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi lain.

“Tambahan lagi DNB akan melaksanakan rangkaian 5G melalui model Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi tujuan membantu menurunkan kos kepada pengguna.

“Melalui model ini, setiap syarikat telekomunkasi dijangka membayar kepada DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang atau purata RM350 hingga RM400 juta setahun.

“Kerajaan sedar akan isu serta cabaran telekomunikasi SWN di negara lain dan kita telah mengambil langkah untuk memastikan kesilapan yang sama tidak berlaku di Malaysia,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata, jumlah bayaran itu jauh lebih rendah daripada RM1 bilion iaitu perbelanjaan modal untuk 4G yang dilaburkan oleh syarikat telekomunikasi setiap tahun

Ini, katanya, syarikat berkenaan dapat menjimatkan lebih 50 peratus, sekali gus dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna. – MalaysiaGazette