Rosol
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merujuk kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk mendapatkan maklumat mengenai laporan kenaikan harga sayur sehingga 200 peratus.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, bagaimanapun, CAP tidak dapat memberi maklumat tepat mengenai isu yang didakwa itu kerana mereka hanya membuat kenyataan berdasarkan cakap dengar.

“Kita ada menerima aduan berkaitan kenaikan harga sayur, yang mana ianya dikatakan (naik) sehingga 200 peratus.

“Tetapi, hasil daripada siasatan kita mendapati, tidak ada. Bila kita tanya (CAP) di mana ianya berlaku, CAP jawab tidak tahu kerana mereka hanya dengar cakap,” katanya menjawab perbahasan Bajet 2022 bagi kementerian itu di Parlimen, malam ini.

Selasa lalu, CAP menggesa KPDNHEP serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera menangani kenaikan harga sayur yang meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Ia susulan aduan yang diterimanya daripada peruncit mengenai kenaikan harga barangan berkenaan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader dilaporkan berkata, beberapa peruncit mengadu pengedar dan pemborong sudah memberi amaran bahawa harga sayur lain mungkin akan naik dalam beberapa minggu akan datang.

Rosol bagaimanapun, tidak menafikan ada kenaikan harga, tetapi tidak setinggi sehingga 200 peratus sebagaimana didakwa oleh CAP.

“Sebab itu, saya menyeru kepada pengguna di seluruh negara, apabila ada saja kenaikan harga mendadak, maklum kepada kita menerusi EzADU atas talian.

“Selain itu, kita ada pegawai pematuh harga dan pejabat di seluruh negara untuk memantau kenaikan harga.

“Sebab semua ini (kenaikan) bukan saja rakyat akan terkesan, kita pun terkesan juga, adik beradik kita, saudara mara kita turut terkesan dengan kenaikan ini,” katanya. – MalaysiaGazette