Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines (MAS), Malindo Air dan Air Asia perlu mencari jalan dalam menyelesaikan isu harga tambang yang tinggi untuk ke Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, harga yang mahal tidak sesuai ketika menjelang cuti akhir tahun, musim perayaan serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Katanya, kerajaan faham kekangan perniagaan dihadapi syarikat penerbangan, iaitu had kapasiti penerbangan disebabkan Covid-19.

“Pandemik ini telah menjejaskan operasi sekali gus pendapatan syarikat dan kerajaan juga maklum tidak akan campur tangan dalam urusan syarikat penerbangan dengan menetapkan harga siling.

“Tetapi, penting untuk syarikat penerbangan tidak membebankan rakyat yang turut terkesan dari segi pendapatan akibat pandemik yang sama,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyatakan, harga tiket terlalu mahal akan menghampakan harapan keluarga yang hendak pulang ke kampung halaman.

Menurut Wan Junaidi, setelah hampir dua tahun terpisah, sekali lagi mereka akan dinafikan peluang untuk berjumpa semula dengan keluarga.

“Rakyat Sarawak pula perlu pulang untuk tunaikan tanggungjawab mereka dalam PRN pada 8 Disember ini.

“Harga tambang yang mahal tidak adil kepada mereka kerana tarikh PRN baru sahaja diberitahu dan tiket perlu dibeli dalam masa yang suntuk.

“Besar harapan rakyat agar harga tiket penerbangan Sabah dan Sarawak dapat disemak semula dan dikurangkan bagi membantu mereka pulang ke kampung halaman di samping menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette