Ahli Kelab Impact Youth sedang memasang sistem solar menerusi program Sinar Solar di Kampung Orang Asli Bukit Telaga, Raub, Pahang.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 buah isi rumah di Kampung Orang Asli Bukit Telaga, Raub, Pahang menerima manfaat bekalan tenaga solar menerusi program Sinar Solar yang dijalankan oleh Impact Malaysia, semalam.

Impact Malaysia dalam satu kenyataan berkata, menerusi Sinar Solar, akses kepada bekalan tenaga solar yang bersih telah dapat disalurkan kepada komuniti-komuniti di pedalaman tanpa perlu memberi kesan kepada alam sekitar mahupun memakan belanja yang besar.

“Program ini merupakan inisiatif yang dilakukan oleh belia termasuklah komuniti belia Orang Asli dari suku Temuan di RPS Bilut.

“Sebelum menyempurnakan inisiatif itu, Impact Malaysia turut menjalankan lima sesi perbincangan bersama komuniti Orang Asli dan belia di sekitar Raub bagi mengenal pasti masalah pembangunan yang dihadapi komuniti mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Impact Malaysia, seramai 21 ahli Kelab Impact Youth cawangan Bilut dan belia Raub bersama Suncrox Solar terlibat dalam menjayakan program Sinar Solar.

Disamping itu, mereka turut melatih penduduk Orang Asli mengenai cara-cara menyelenggarakan dan mengembangkan akses elektrik secara kendiri.

“Kita juga menyumbang sistem solar ‘inverter’ dan sebuah peti sejuk jenis ‘freezer’ untuk kegunaan komuniti Bukit Telaga yang boleh membantu penduduk komuniti berjimat dan menyimpan makanan dengan jangka masa yang lebih lama,” katanya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker turut serta dalam projek pemasangan sistem solar di Kampung Orang Asli Bukit Telaga, Raub, Pahang.

Program Sinar Solar tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker bersama Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir.

Menurut Ahmed Faris, Sinar Solar Raub merupakan projek kedua yang dijalankan selepas di Pos Titom pada Ogos 2019.

Jelas beliau, selaku sebuah inisiatif impak sosial yang memperkasa belia untuk menjadi ‘changemakers’, Impact Malaysia telah membudayakan pengukuran impak dalam kesemua projek induk dan projek-projek sukarelawan.

“Tinjauan pengukuran impak yang dijalankan di Pos Titom pada tahun lalu mendapati program tersebut memberi impak positif kepada 60 isi rumah yang mendapat manfaat dari sistem solar domestik ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette