SHAH ALAM – Sebanyak 20,000 buku modul pembelajaran bercetak telah diagihkan secara percuma kepada dua kategori pendidikan iaitu pelajar tingkatan lima dan murid tahun enam sejak 5 April lalu.
Pengagihan buku itu yang masing-masing 10,000 buah untuk dua kategori berkenaan dibuat menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor.
Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, berdasarkan maklum balas, buku itu banyak membantu dan dimanfaatkan pelajar sepenuhnya sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19.
“Ianya juga dapat membantu pelajar dan murid melatih tubi walaupun mereka mempunyai masalah capaian internet dan peranti untuk meneruskan pembelajaran mereka.
“Namun, kita bantu juga mereka melalui Program Tuisyen Rakyat dan pelaksanaan Sepintas,” katanya pada sesi jawab mulut sidang DUN Selangor hari ini.
Kata Amirudin, Sepintas adalah satu pengubahsuaian yang diambil daripada program dilaksanakan Perpustakaan Tun Raja Uda atau Perpustakaan Awam Selangor, yang mana ketika ini telah membantu 20 hingga 30 keluarga dari usaha mereka.
Katanya, kerajaan menjadikan usaha keluarga itu sebagai program negeri untuk menaiktaraf beberapa kemudahan dimiliki yang ingin mereka lupuskan seperti komputer, peranti dan sebagainya.
“Barangan ini kita berikan kepada pelajar yang memerlukan khususnya dari kelompok B40,” katanya. – MalaysiaGazette