garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu, kerajaan akan mengkaji cadangan daripada wakil rakyat negeri itu untuk memastikan penjawat awam berpendapatan bawah RM2,000 memilik rumah mampu milik Selangorku.

Perkara itu diberitahu Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, selepas dimaklumkan oleh ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong mengenai nasib penjawat awam dan kakitangan Pusat Khidmat DUN yang skim gajinya tidak melepasi tahap kelayakan pinjaman bank.

“Kita akan mengkaji cadangan Bukit Kanjan dan kami akan berbincang cadangan yang telah dikemukakan,” katanya pada sesi pertanyaan sidang DUN Selangor di sini, hari ini.

Elizabeth Wong dalam soalan tambahannya berkata, penjawat awam dan kakitangan Pusat Khidmat DUN ini mempunyai impian untuk membeli rumah mampu milik Selangorku, tetapi terhalang dengan skim gaji mereka yang tidak melayakkan untuk mendapat pinjaman daripada mana-mana bank.

Justeru, beliau mahu tahu sama ada kerajaan negeri akan memperkenalkan inistiaf tertentu yang membolehkan golongan itu membeli rumah mengikut skim gaji mereka.

Menjawab soalan asal, Sze Han berkata, mengikut Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 4 Disember 2013, sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan unit rumah mampu milik Selangor yang dibina diperuntukan kepada penjawat awam.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan telah meluluskan kuota pengagihan Rumah Selangorku sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan unit yang dibina di setiap tapak kepada penjawat awam yang berkhidmat di Selangor.

“Bagi kakitangan yang bekerja di Pusat Khidmat DUN, penetapan kuota ini terpakai sekiranya mereka merupakan kakitangan yang diiktiraf di bawah Skim Penjawatan Awam,” katanya.

Beliau turut menyatakan perincian jumlah rumah yang siap dibina dan dalam pembinaan sehingga 15 November lalu.

Rumah Jenis A yang siap dibina sebanyak 2,019 unit, manakala dalam pembinaan 1,092 unit; Jenis B (4,122 unit siap, 2,364 unit pembinaan); Jenis C (9,294 unit siap, 4,884 unit pembinaan); Jenis D (7,822 unit siap, 7,792 unit pembinaan); dan Jenis E (1,171 unit siap, 4,030 unit pembinaan).

Sehingga kini, katanya, sebanyak 24,428 unit Rumah Selangorku telah siap dibina telah ditawarkan kepada penduduk negeri itu. – MalaysiaGazette